TIPS TEMUDUGA

Berapakah gaji yang anda mahu ini kadangkala dijadikan "soalan trik" ketika temuduga. Ini kerana kadangkala bakal majikan ingin menguji sejauh manakah anda menilai kebolehan diri anda. Namun begitu, soalan ini perlulah ditangani secara berhati-hati kerana anda tidak mahu kelihatan seperti terlalu mementingkan keperluan materialistik tetapi pada masa harus mempertahankan 'market value' calon temuduga. Berikut adalah cara menangani soalan "Berapakah Gaji yang Anda Mahu?": "Saya lebih selesa sekiranya pihak Tuan sendiri memberikan saya julat gaji untuk jawatan ini" "Pendapatan kasar semasa saya bekerja di syarikat terdahulu adalah RM3,500. Bolehkah tuan berikan julat gaji untuk jawatan ini?" "Saya rasa agak terlalu awal untuk membincangkan perkara ini. Saya lebih selesa untuk membincangkan berkenaan pengalaman kerja dan skillset saya terlebih dahulu sebelum kita ke peringkat seterusnya." Elakkan dari terus bertanya berkenaan soal gaji dan bonus diawal proses temuduga. Sebaliknya tunggu sehingga penemuduga menerangkan kepada anda atau bertanyakan berkenaan gaji yang besesuaian untuk anda.

Tip Motivasi dalam Kerjaya & Perniagaan

1. Selalu lakukan lebih daripada apa yang dibayar/diupah. contoh, kalau pendapatan kita RM3k sebulan, buat kerja seperti pendapatan kita RM4k sebulan. kalau projek client RM10k, buat seperti kita dibayar RM13k. tak kira dalam perniagaan atau karier. bila kita lakukan lebih, pastinya kita akan dapat lebih akan datang!
 
2. Sekiranya kita tidak mencari ilmu-ilmu baru, kita mungkin tidak akan jumpa jalan untuk mencapai kejayaan masa hadapan. Dengan ilmu yang kita sedia ada, sekiranya masih tidak mencapai kejayaan yang diinginkan, bererti kita perlu kemaskini diri kita dengan ilmu baru yang mungkin boleh membawa kepada kejayaan yang kita idamkan!
3. Kalau kita mempunyai satu kebolehan, tetapi tidak pandai promosi diri kita atau tak pandai komunikasi untuk ketengahkan kebolehan itu, maka kita yang rugi. skill promosi diri dan komunikasi adalah amat penting tak kira dalam perniagaan atau karier!

4. Sekiranya kita ada idea, tetapi orang-orang lain tidak nampak kehebatan idea tersebut, bukan bermakna idea kita tu tak bagus. cuma, orang tak nampak apa yang kita nampak. yakin dengan diri sendiri, percaya dengan diri kita terlebih dahulu sebelum percaya orang lain. kejayaan cemerlang seringkali bermula dengan idea yang orang lain tak nampak

5. Kurangkan stress. stress merupakan punca kepada banyak penyakit! SITUASI tidak mengakibatkan stress- contoh, terkandas dalam jam: ada orang yang stress, ada orang yang rilex je… apa yang mengakibatkan stress adalah RESPOND kita kepada sesuatu situasi. banyak2 bersabar- bersabar kan separuh dari iman ;)

Pupuk sikap tegas dalam diri

Oleh Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin 
Profesor Madya dan Timbalan Dekan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia
mohdyma@gmail.com
2012/03/29

KETIKA belajar di universiti adalah waktu yang sesuai untuk melatih dan memupuk diri anda menjadi individu yang tegas. Anda boleh bertegas dengan rakan jika dia tidak dapat menepati masa temu janji.

Misalnya, rakan anda ingin menumpang kenderaan anda ke kuliah. Jika gagal menepati masa yang dijanjikan, anda tinggalkan saja rakan itu dan pergilah ke kuliah. Dengan cara ini, rakan anda itu memahami dan mempelajari bahawa anda seorang yang tegas dalam menepati janji. Jika ingin menumpang pada masa lain, dia sudah faham akan ketegasan anda.
Dalam situasi lain, katakanlah anda mengetuai satu tugasan akademik dan telah membahagikan tugas dengan rakan kumpulan. Jika ada rakan yang tidak menjalankan tugasnya, maka laporkan kepada pensyarah dan gugurkan namanya daripada kumpulan itu. Bukan bertujuan menimbulkan konflik dengan rakan sebaliknya menunjukkan dalam setiap tugas atau kerja perlu ada ketegasan demi kebaikan kumpulan. Ketegasan anda membuat rakan kumpulan menghormati sikap positif anda itu.
Sikap tegas amat perlu apabila anda bekerja kelak. Sebagai eksekutif atau pegawai, anda harus bertegas dengan staf dalam urusan kerja. Jika tiada ketegasan, anda sebagai eksekutif atau pegawai kurang dihormati oleh mereka. Tambahan pula, anda adalah eksekutif atau pegawai yang baru bertugas. Ketegasan akan menyebabkan staf mengikut arahan kerja seterusnya menyiapkan kerja itu dan dalam masa yang sama menghormati anda.

Kebanyakan orang cenderung menunjukkan dan meluahkan perasaan dan kehendak mereka secara tidak langsung kerana bimbang staf berasa tersinggung dan mungkin akan menimbulkan konflik. Malah ramai menganggap sikap bertegas berkait dengan sikap suka mengarah.

Sikap tegas adalah satu kemampuan menjadi bijaksana dalam mencapai apa yang anda mahu. Ia berkaitan dengan cara untuk berhadapan dengan keadaan sukar tanpa mengecewakan orang lain.

Apabila ada sikap tegas, anda boleh berbincang mengenai perubahan organisasi secara munasabah dengan meluahkannya secara terus apa yang anda fikirkan atau mahukan. Melalui sikap ini anda boleh menyelesaikan masalah interpersonal seseorang dan meningkatkan kejujuran di tempat kerja anda.
Berikut adalah tanda yang menunjukkan sikap tegas anda di tempat kerja seperti dipetik dari New Straits Times (21 November 2008).

1. Memahami keperluan. Anda perlu tahu apa yang dikehendaki daripada seseorang staf. Anda perlu jelas, spesifik dan mudah apabila memohon bantuan atau mewakilkan kerja anda kepada staf.

2. Menggalakkan perbincangan. Anda harus menggalakkan staf berbincang dan menanyakan soalan dengan anda. Anda mesti bertegas dengan bertanyakan soalan kepada mereka. Sebagai contoh "Apakah soalan anda mengenai topik yang telah kita bincangkan tadi?" berbanding menanyakan soalan seperti ini, "Adakah anda mempunyai apa-apa soalan?"

3. Membantu menyelesai masalah. Apabila seseorang staf menjadi emosional, panggil dan bawa berbincang serta tanyakan apa yang sedang berlaku. Mungkin staf itu sedang tertekan akibat bebanan kerja atau mempunyai masalah peribadi. Cuba beri bantuan atau bimbingan kepadanya serta berikan masa untuknya menyuarakan atau membincangkan masalah yang dihadapi.

4. Mengkaji tanggungjawab staf. Jika ada staf menyoal anda dalam cara yang negatif, cuba bertenang dan hadapi ketidakpuasan hatinya dengan fikiran yang waras. Jika ada staf mengancam anda, bawalah berbincang dengan cara mengkaji semula tanggungjawab dan keutamaannya, seperti yang sepatutnya.

Bertegaslah dan bersikap terus terang, dan yang penting ialah anda mesti berfikiran logik. Jika staf itu berdegil dan tidak mahu untuk melaksanakan tugas seperti yang dipertanggungjawabkan, anda perlu dapatkan pembabitan pihak lain dengan mengenakan tindakan disiplin seperti yang diperuntukkan dalam polisi organisasi.

5. Memberi dorongan. Sebagai eksekutif atau pegawai, anda perlu kekalkan objektif dalam fikiran pada setiap masa dan tahu akan keutamaan anda sendiri. Ada kalanya anda perlu mendorong orang lain untuk mendapatkan yang terbaik daripada mereka. Anda perlu sentiasa bersedia memberi dorongan dan mencabar mereka. Menariknya, anda mungkin akan terkejut apabila mengetahui apa yang dikatakan itu telah mendorong dan memotivasikan staf untuk lebih maju.

6. Membina keyakinan diri. Anda harus memberi keyakinan kepada staf untuk meyakini diri mereka, sebagai tanda anda mempercayai mereka. Bantu mereka untuk membina keyakinan diri dan beri ganjaran atau ucapan tahniah sebagai tanda penghargaan kepada staf yang telah melaksanakan kerja yang baik dan berkualiti.

Bagaimanapun, anda boleh memutuskan cara atau alternatif yang bagaimana untuk menjadi seorang yang tegas di tempat kerja. Sehubungan itu, latihlah diri anda untuk menjadi individu yang tegas khususnya dengan rakan ketika sedang belajar di kampus.

Antara potensi diri dan kerjaya pilihan

Oleh Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin
Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya
mohdyma@um.edu.my
2010/07/08



INDIVIDU yang tiada kebolehan membuat keputusan mengenai pekerjaan mungkin disebabkan minat yang pelbagai, minat yang tidak jelas atau tiada minat sama sekali.

Sebagai mahasiswa, anda tidak dapat menjangka dengan baik mengenai personaliti, minat, nilai, serta kebolehan menyebabkan pilihan yang dibuat tidak sepadan dengan ciri yang dimiliki.

Maka, wujud dilema dalam diri akibat berlaku pertentangan antara potensi diri yang dimiliki dengan pekerjaan yang menjadi minat dan pilihan hati.

Bagi membantu mengatasinya, Teori Perkembangan Kerjaya Holland yang diperkenalkan oleh Holland (1958) dilihat sangat sesuai untuk dijadikan panduan kepada pencari kerja kerana teori ini dapat membantu mengenal pasti potensi diri termasuk personaliti, minat, nilai dan pencapaian individu.

Menurut Holland terdapat hubungan erat di antara personaliti dengan persekitaran kerja yang diceburi oleh seseorang individu. Setiap individu akan mencari persekitaran kerja yang sesuai dengan personalitinya.

Kesesuaian antara personaliti individu dengan persekitaran akan menghasilkan kepuasan, kestabilan dan pencapaian dalam bidang kerjaya yang diceburi oleh individu. Malah banyak kajian Holland dan sarjana lain membuktikan hubungan berkenaan.

Hasil kajian mereka menunjukkan individu yang terbabit dalam bidang kerjaya, berjaya memilih bidang pekerjaan yang selaras dengan jenis personaliti yang dimiliki.

Sehubungan itu, Holland mengkelaskan individu kepada enam jenis personaliti iaitu realistik, investigatif, artistik, sosial, keusahawanan dan konvensional yang boleh dikaitkan dengan kerjaya.

Pada ruangan ini diterangkan dua jenis personaliti iaitu realistik dan investigatif merangkumi ciri personaliti, pekerjaan yang sesuai dengan anda dan bidang pengajian yang boleh diikuti di universiti.

Buatlah analisis supaya anda mengenali personaliti diri seterusnya mampu menyesuaikan dengan kerjaya yang menjadi impian.

1. Realistik

Personaliti ini dimiliki individu jenis praktikal. Mereka cenderung untuk menjadi kompetitif dalam kerja yang dilakukan serta terbabit dengan aktiviti yang memerlukan kemahiran fizikal dan kekuatan.

Setiap masalah akan diselesaikan menggunakan pendekatan yang konkrit sebaliknya, tidak menonjolkan kemahiran verbal dan interpersonal.

Ciri personaliti: Berterus-terang, praktikal, fokus, mekanikal, gigih, cekal, tanah lasak, stabil, maskulin, berdikari, jujur, pemalu, akur, berpendirian tetap, cermat dan keras hati.

Bidang pekerjaan yang sesuai: Seni bina, pengurusan hospitaliti, kulinari, kejuruteraan, teknologi maklumat, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan automotif, muzik, farmasi, veterinar, optometri, juruterbang, tukang masak (chef), perekaan fesyen, fotografi dan ukur bahan.

Bidang pengajian: Seni bina, seni bina lanskap, pengurusan hospitaliti, kejuruteraan awam, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan automotif, teknologi maklumat, muzik, farmasi, perubatan veterinar, optometri, juruterbang, masakan, perekaan fesyen, fotografi dan ukur bahan.

Oleh itu, anda adalah individu dalam kategori ini jika memiliki ciri personaliti di atas dan sesuai bekerja dalam bidang yang disenaraikan.

2. Investigatif

Individu yang mempunyai minat yang tinggi dalam aktiviti menganalisis, menyiasat atau menyelidik sama ada secara saintifik atau teknikal.
Individu kategori ini adalah seorang pemikir yang fokus kepada sesuatu perkara dan idea yang dilakukan.

Jika anda sering kesibukan bekerja di belakang tabir untuk menghasilkan sesuatu idea atau ciptaan yang hebat, bermakna anda adalah dari jenis investigatif.

Ciri personaliti: Analitikal, intelektual, teliti, ingin tahu, berdikari, rasional, pendiam, kritikal, tepat, berhati-hati, cekal, introvert, sistematik dan radikal.

Bidang pekerjaan yang sesuai: Sains komputer, ekonomi, kejuruteraan, matematik, statistik, farmasi, perubatan, pergigian, psikologi, sains perubatan, bioteknologi, sains, kewartawanan, optometri, kejuruteraan dan antropologi.

Bidang pengajian: Perubatan, pergigian, farmasi, optometri, sains, bioteknologi, matematik, statistik, ekonomi, geologi, sains, sains komputer, psikologi, kejuruteraan, kewartawanan dan antropologi.

10 Sikap Positif Bina Kerjaya

Sumber:  
Oleh NOR AMIZA ABD KADIR
http://www.cicinta.com/2012/01/10-sikap-positif-bina-kerjaya-tip.html 

Mengapa sebahagian individu mudah mencapai kedudukan teratas di organisasi, sementara sebahagian lagi sukar untuk mendapatkan promosi? Apakah kecerdasan, bakat dan kekuasaan individu - individu ini menjadi faktornya? Tidak juga kerana sikap seseorang individu itu lebih berperanan. Ikuti 10 sikap positif dan yakinlah bahawa karier anda akan berjaya.


Tip Kerjaya

1. Lakukan Yang Terbaik - Apa pun pekerjaan harus dilakukan dengan baik. Anda tidak akan tahu waktu anda diperhatikan atau dinilai oleh atasan. Apabila anda terbiasa melakukan pekerjaan dengan baik dan benar, maka anda tidak akan sukar untuk menerima tanggungjawab yang lebih besar. Jangan lupa, apa pun yang anda lakukan, pasti diperhatikan oleh atasan.

2. Jangan Berhenti Mencari Peluang - Profesional yang sukses sering mencari kesempatan untuk terus maju dan berkembang. Pasang mata, buka telinga dan tanamkan wawasan untuk berhadapan kesempatan baru. Anda tidak pernah tahu bila akan mendapatkan sesuatu yang dapat mengubah karier anda menjadi lebih cemerlang.

3. Jangan Menunggu - Apabila anda menghabiskan waktu hanya untuk menunggu berlakunya keajaiban, maka anda akan menunggu dalam tempoh yang lama, malah barangkali sia-sia. Seseorang yang sukses, sering melakukan sesuatu secara baik dan tepat untuk mewujudkan keinginannya. Sebaiknya anda bergerak dan melakukan sesuatu; mencari cara yang tepat dan jangan hanya menunggu. Anda pasti menemui hasilnya dan berhak untuk menggapai impian.

4. Fikirkan Boleh - Apa sahaja boleh berlaku. Anda mungkin tidak pernah bermimpikan untuk menjadi seorang pengarah. Jika demikian, maka anda memang tidak akan pernah memegang jawatan tersebut. Ingat, jika anda berfikir tidak boleh, maka anda tidak akan pernah boleh. Namun bila anda berfikir boleh melakukan, pasti anda boleh.



5. Kegagalan Merupakan Kunci Kejayaan - Setiap orang pasti pernah mengalami kegagalan dari semasa ke semasa. Perbezaan antara individu yang sukses dan mereka yang gagal adalah bagaimana mereka menghadapi kegagalan yang dialami. Individu yang sukses selalu belajar daripada kesalahan yang mereka lakukan dan tetap maju.

6. Tonjolkan Kemampuan - Apakah anda menunggu sampai seseorang itu melihat bakat dan kemampuan anda? Mungkin sudah tiba waktunya untuk memperlihatkan kemampuan anda kepada majikan. Profesional yang berjaya tahu cara memperlihatkan keberhasilan mereka tanpa perasaan sombong.

7. Memiliki Jaringan Yang Kuat - Individu yang sukses memahami dengan baiknya kepentingan jaringan, baik di dalam mahupun di luar pejabat. Anda perlu bersikap proaktif untuk mengembang hubungan profesional. Ajak dan undang rakan sekerja untuk menikmati makan tengah hari di luar. Sesekali, pergilah ke kafe selepas tamat waktu kerja. Bergabunglah dengan pertubuhan profesional. Kembangkan jaringan profesional demi masa depan anda.

8. Tidak Terikat Pada Latar Belakang Pendidikan - Apabila anda merasakan bahawa pekerjaan yang anda lakukan tidak sesuai dengan latar belakang pendidikan, maka anda akan mempamerkan prestasi yang buruk. Mungkin pekerjaan yang anda lakukan tidak sesuai bagi anda tetapi seorang yang berjaya tetap melakukan tugas yang diamanahkan dengan baik.

9. Menganggap Setiap Orang Penting - Apabila anda ingin bersikap agresif, anda perlu bersikap baik dengan rakan sekerja dan orang yang berada di sekeliling. Anda keliru jika menganggap tidak perlu menjalin hubungan baik dengan setiausaha atasan. Bersikap sopan dan ramah terhadap orang sekeliling anda. Ia mungkin menjamin masa hadapan anda kelak.

10. Menganggap Setiap Orang Penting - Anda bertanggungjawab atas nasib anda, maka sudah menjadi kewajipan untuk terus mencari jalan dalam memperbaiki profesionalisme anda. Bersikap sukarela dalam melakukan tugasan tambahan, berminat untuk mempelajari sesuatu yang baru dan bersedia pulang lewat untuk membantu sesama rakan sekerja. Pekerja yang sukses tidak hanya bekerja pada waktu kerja tetapi juga bersedia pada sebarang masa.